Pejam celik pejam celik, sudah sembilan purnama Wardah bermastautin di bumi penyu bertelur. Biasanya, setiap dua minggu dia akan bermusafir, pulang ke kampung halaman di Negeri Serambi Mekah. Perjalanan Kuala Terengganu ke Kota Bharu : 160 km, mengambil masa kira-kira 3 jam.

Seawal bulan pertama di Terengganu, dia berhajat untuk singgah menunaikan solat di semua masjid yang ada di sepanjang jalan. Alhamdulillah, petang tadi dia berpeluang menunaikan solat Asar di Masjid Penarik. Betul-betul di hadapan Pantai Penarik.

Usai solat Asar, Wardah terus bergegas menuju ke kereta. Keadaan di masjid agak lengang. Terdapat beberapa buah kereta di perkarangan masjid. Setelah enjin dihidupkan, mata menjeling cermin pandang belakang. Clear. Belum pun sempat bergerak, tiba-tiba.. Muncul seorang makcik, terkumat-kamit bersebelahan tingkap pemandu. Dalam hati tertanya-tanya, apa makcik ni cakap ni? Beria-ia nampak. Lalu, cermin tingkap diturunkan.

Wardah: Aa. Nape mokcik?
Makcik: Takdok nape pong. Alah gi mano? Bagoh la breti smayang. 
Wardah: Aah mokcik. Nok kelik Ganung. Jalang-jalang gok, smayang dokleh tinggal.
Makcik: Jalang berkat sket. Kite ni mati dop hau bile. Esok kaghang doh mane tau.
Wardah: Ye la. Mokcik maghi mano ni?
Makcik: Mokcik maghi jauh. Tasik Kenyir nuh. ~Sambil berlalu pergi~



Wardah termenung seketika. Muhasabah diri. Mungkin terlalai seketika. Maka, Allah utuskan seseorang untuk memberi peringatan. Wardah meneruskan perjalanan dengan kelajuan sederhana. Otak masih ligat berputar, memikirkan siapakah gerangan makcik itu. Ahh! Itu tidak penting! Apa yang penting, pesanan yang berharga itu. Ya, siapa yang mampu menjamin kita akan hidup sehingga esok?
Terima kasih Allah.