Di senja yang damai, tenang sekali kakiku melangkah menjelajah setiap ceruk halaman rumah. Belalang-belalang melompat ke sana ke mari. Burung berkicau riang bertenggek di rimbunan pohon kenanga. Lagi mendamaikan tatkala pipi disentuh angin pantai yang menderu. Amat mententeramkan jiwa bermastautin di pesisir Pantai Batu Burok ini.

Walau apa pun, aku rindukan kampung halaman. Rindukan rakan dan taulan. Rindukan sawah bendang. Sungguh, aku rindu! Bagi mengubat rasa rindu, aku hanya mampu meneruskan aktiviti rutin yang dilakukan bersama ibu di sepanjang keberadaanku di kampung. Berjalan-jalan di halaman rumah. Sambil menyiram pokok, mata meneliti setiap dedaunan pokok bunga. Daun dimakan ulat kah? Pokok layu kurang air kah? Akar dimakan siput kah?

Sambil membongkok-bongkok membersihkan halaman, aku perasan kewujudan seorang gadis di garaj kereta rumah hadapan. Bertudung hitam, memakai t-shirt merah dan berseluar jeans. Ke hulu ke hilir, seperti sedang dirundung masalah besar lagaknya. Ingin kutegur, tapi niat dibatalkan apabila melihat kegusaran yang terlakar di wajahnya. Aku fikir, dia sedang menunggu seseorang barangkali. Sekadar berbaik sangka.

Tiba-tiba..

“Hoi!! Kau balik sekarang!! Balik!! Aku kata balik!!”

Jeritan garau seorang lelaki memecah kesunyian. Aku mengambil langkah selamat, berpura-pura mencabut rumput. Berlindung di sebalik pagar rumah. Mataku terus memerhatikan adegan seterusnya dari celah-celah tiang pagar. Sesekali aku mengangkat kepala, melihat dengan lebih jelas apa yang terjadi.

Aku jangka lelaki itu adalah ayahnya. Sambil terjerit-jerit memaki hamun, serentak itu juga kepala si gadis itu ditolak-tolak. Aku terus berdiam diri. Tidak mungkin untuk aku masuk campur. Tidak perlu untuk menjadi jaguh di kampung orang. Apalah sangat yang aku mampu bantu. Orang kampung yang berada di sekitar hanya sekadar memerhati tanpa sebarang tindak balas.

Si gadis terus-terusan dimaki hamun dan dipukul. Beberapa ketika kemudian, dua beranak itu tidak lagi kelihatan. Aku sangka ‘drama sebabak’ sudah berakhir. Telahanku silap. Oh! Si gadis itu sudah pun terduduk di atas jalan tar. Masih lagi dipukul dan diheret oleh lelaki tadi. Aku agak ketakutan, hanya mampu berdoa agar ‘drama sebabak’ ini cepat berakhir.

Selang beberapa ketika, aku memberanikan diri untuk bangun dan terus terkocoh-kocoh masuk ke dalam rumah. Sungguh aku tak mampu bertahan sebagai ‘penonton’ yang kaku. Aku juga seorang perempuan. Tak sanggup menyaksikan si gadis itu diperlakukan sebegitu rupa, biar apa pun kesalahan yang telah dilakukannya. Biarpun aku masih belum berkahwin, kufikir bukan begitu caranya mendidik anak.

Moga-moga kejadian seumpamanya tidak akan berulang lagi. Maafkan aku wahai si gadis berbaju merah. Aku tak mampu untuk menghulurkan pertolongan. Aku tak mampu untuk menjadi jiran yang ‘busy body’ di saat-saat genting seperti itu. Sekudus doa kukirimkan buatmu.

Harapanku, semoga keluarga dan sahabat handai tidak memegang watak ‘pelakon-pelakon drama sebabak’ yang ditayangkan secara ‘live’ di depan mataku itu. Naudzubillah. Semoga kita semua terdidik dengan aturan kehidupan berlandaskan Islam dan sentiasa bernafas dalam redhaNya. InsyaAllah.