Tup! Tap!

Tam! Tum!

Pom! Pom!

“Ish! Bunyi apa tu? Budak mana la main mercun tengahari macam ni. Tengok jap.” Mak saya membebel. Kami sedang bersembang di dapur ketika itu.

Dengan rasa malas, saya bangun. Buka tingkap. Hah?????

Ma!! Dapur dia!! Api!! Api!!” Hanya itu yang mampu dijerit

Gelabah! Menggigil! Takut!

Terus saya meluru keluar rumah memandangkan dapur kami dengan dapur rumah tersebut hanya beberapa meter.

Tutup elektrik!! Tutup elektrik!!” ada pakcik menjerit, mengarahkan saya untuk bertindak.

Dengan langkah yang kelam kabut, saya tergopoh-gapah kembali ke dalam rumah. Terketar-ketar menolak butang “OFF” di meter elektrik. Tak sempat fikir panjang, terus terjun tangga dapur, meluru keluar. Challenge your adrenaline!!

Booomm!! Booommm!! Letupan gas memasak saya fikir.

Saya dan mak terus meluru ke tempat kejadian. Orang kampung masih belum menyedari kejadian kebakaran tersebut. Api di bahagian dapur Kak Ani sedak galak menyemburkan gas dari tong gas memasak. Kami hanya mampu melihat. Kak Ani dah longlai, dipapah jiran.

Orang kampung mula membanjiri perkarangan rumah. Kak Ha yang baru tiba sempat melangkah ke rumahnya, sekadar menyelamatkan dokumen penting. Keadaan riuh rendah. Tangisan kedengaran. Takbir bersahutan.

“Allahuakbar!! Allahuakbar!! Allahuakbar!!”

Bahang panas sudah mula terasa biarpun berada 20 meter dari rumah tersebut. Api semakin menjulang tinggi. Asap hitam berkepul-kepul memenuhi ruang. Semua tergamam. Hanya mampu melihat dan berdoa agar Allah membantu.

Api semakin galak memainkan peranan. Pokok-pokok di sekitar sudah dijilatnya. Emak sudah pun menjerit nama Kak Yam, penghuni rumah sebelah rumah kami. Rumah mak yang disewakan kepada Kak Yam sejak 20 tahun lalu seakan-akan bakal menjadi mangsa seterusnya. Api sudah pun membakar pokok-pokok yang hanya 1 meter dari rumah Kak Yam. Kalau lah rumah Kak Yam terlibat, besar kemungkinan rumah saya juga terbabit sama. Naudzubillah.

Bomba tiba agak lewat. Dua buah rumah sudah pun hangus. Tinggal rangka. Pihak bomba hanya mampu berusaha mengawal api supaya tidak merebak ke rumah ketiga bersebelahannya. Kaki terasa tidak berpijak di bumi nyata.

Sebatang demi sebatang kayu rangka rumah runtuh. Darah berderau setiap kali mendengarkan runtuhan. Letupan dan dentuman menguji stamina jantung lantas meningkatkan degupan. Tergamam. Hilang sudah tempat berteduh 17 sekeluarga yang didiami 30 tahun lalu. Segalanya lenyap dalam masa 15 minit. Sekelip mata.

Dan hari ini, 8 Julai 2010, kejadian semalam berulang lagi. Rumah Pakcik Sabri terbakar. Dua hari berturut-turut kampung saya kecoh dengan kes kebakaran. Moga dijauhkan dari ujian sebegini. Amiin.

Alhamdulillah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sempat meluangkan masa menjenguk keluarga mangsa tengahari tadi. Takziah buat keluarga mangsa.

~Laporan kejadian ada dimuatkan dalam Berita Harian, 8 Julai 2010. KLIK DI SINI.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/17tinggalsehelaisepinggang/Article




Jam 1153



Jam 1154



Jam 1155



Jam 1155



Jam 1155



Jam 1157



Selepas kejadian..


Sejurus sebelum api merebak




Saya berdiri di tempat yang sama seperti gambar di atas


Notahati:

Di situlah tempat permainan saya dari zaman kanak-kanak. Di situlah saya mengenal sawah bendang. Lintah dan pacat. Bunga cina dan pokok cermai di halaman. Menangkap belalang dan membakarnya. Memanjat pokok kelapa dan segala jenis pokok di hutan. Menangkap ikan tika padi disemai. Bermain layang-layang usai padi dituai. Bermain masak-masak, kahwin-kahwin. Lumba basikal. Jatuh. Terluka. Paling tidak lupa, mengembala biri-biri. Di kala senja tiba, sangat suka tolong mereka mengambil kembali biri-biri yang diletakkan di tengah sawah. Di situlah tempat saya membesar seharian. Segala jatuh bangun kehidupan masa kecil, sawah yang terbentang luas itulah yang menjadi saksi.

Dan, di laluan masuk ke rumah merekalah jua lokasi uri milik saya ditanam!