Assalamualaikum. Terasa sangat sangat sangat lama tidak meluangkan masa untuk menghasilkan entry di blog ni. Entry kali ni saya gunakan untuk berkongsi pengalaman sepanjang bergelar pelajar. Tapi, berkisar tentang keluarga dan anak-anak.

Saya sebagai perantau di negeri orang, setibanya hujung minggu, pastinya saya mempunyai banyak masa untuk melawat rumah kawan-kawan. Instead of balik rumah di Kelantan. Cuti 2 hari je pun kan.

Tiba-tiba saya tergerak hati ingin berkongsi pengalaman bertandang ke rumah seorang sahabat. Kisah ini hanyalah sekadar untuk dikongsi buat iktibar, buat teladan. Tidak sesekali berniat untuk mengaibkan sesiapa.

Dipendekkan cerita, saya tiba ke rumahnya ketika ibu bapanya tiada di rumah. Adik-adiknya juga masih belum pulang. Sekitar Zuhur, ibunya pulang. Saya seperti biasa, bersalam dan bercakap sepatah dua kata sekadar berbasa basi sebagai tetamu. Namun selepas itu, sepatah pun ibunya tidak berbual dengan saya. Ayahnya juga langsung tidak menegur saya! Beginikah cara melayan tetamu? Sejujurnya, saya sedikit terasa! ~Mungkin terbawa-bawa dengan sifat keluarga saya yang sememangnya peramah!

Kemudian, ibunya asyik mengeluh kepenatan. Mengeluh dan mengeluh. Bercakap dengan suara lantang. Saya mula rasa tidak selesa. Tapi, sekadar bertahan.

Apabila petang menjelma, adik-adiknya pulang. Seorang masih di tadika, seorang sedang belajar bertatih untuk berjalan. Saya sememangnya gembira. Rindu anak-anak saudara di Kelantan sedikit terubat. Namun kemudian, saya terkejut dengan layanan keluarga terhadap anak-anak kecil itu. Sangat terkejut!

Tengkingan tidak pernah sunyi dalam rumah tersebut. Pelbagai kata-kata kasar terhambur keluar daripada si ibu, kakak dan ayah. Saya menangis dalam hati! Sedih anak-anak kecil diperlakukan sedemikian rupa.

Sekadar memetik beberapa situasi buat pengajaran.

Di kala Maghrib tiba, Adik yang berumur sekitar 6 tahun sedikit liat untuk mandi. (*Baby: adik yang berumur 2 tahun)

Ayah: Woi kau! Pergi mandi sekarang!
Adik: Alah.. Mm..
Ayah: Ooo. Ko mengejek aku ye? Kau pergi mandi sekarang! Baby, jangan tiru perangai abang ni. Degil! Pemalas! Dah cepat! Pergi mandi!


Sedang adik mandi di dalam bilik air.

Kakak: Woi! Cepat la sikit mandi!
Ibu: Entah apa dia buat dalam tu. Cepat la sikit! Orang lain pun nak mandi jugak! Lembab!


Sedang berhat-rehat di ruang tamu.

Kakak: Alalala baby.. Baby.. Kepala batu.. Kepala batu.. Kepala batu..


Sedang ingin sarapan pagi.

Kakak: Ko nak tak telur ni?
Adik: Nak. Eh taknak. Eh nak. Nak.
Kakak: Eh ko ni! Nak, taknak. Nak ke taknak? Aku sepak kang mampuss!


Fuhh!! Sepanjang di rumah tersebut, terasa jantung bagai nak gugur. Saya memang tak biasa dengan suasana sebegitu. Mungkin itu adalah budaya negeri tersebut. Sejujurnya, saya culture shock!


Sebab, biasanya kalau dengan Zarif (anak saudara saya yang berumur 6 tahun), kami boleh dikatakan berlembut dalam mendidik. Contohnya, nak mintak tolong Zarif ambilkan barang.

Mama: Along. Along anak soleh kan? Along baik kan.
Zarif: A'ah. Anak soleh Allah suka.
Mama: Tolong ambilkan telefon mama kat atas.
Zarif: Alaa. Ish. Along nak main.
Mama: Along nak masuk Syurga kan? Kalau nak masuk Syurga, kena suka tolong orang.

Zarif: Iyelah. Yelah. (Sambil bermalas-malasan tinggalkan permainan dan ambil telefon)



Walaupun tidak semua dialog di rumah saya begitu. Tapi, saya sememangnya sangat terkejut dengan apa yang berlaku. Saya memang tak biasa dengan keadaan bising-bising jerit tengking dalam rumah. Mungkin Allah ingin tunjukkan kepada saya akan cara yang patut dielakkan dalam mendidik anak-anak. Itulah pengajaran yang paling penting!

Akhir kalam, di rumah anda bagaimana? Adakah herdikan sentiasa menemani kehidupan keluarga? Atau pendidikan Islamik yang diterapkan?

Ingat, SETIAP PATAH PERKATAAN YANG DITUTURKAN ADALAH DOA.



Sesungguhnya,YANG KITA TANAM ITULAH BAKAL KITA TUAI.. Fikir-fikirkanlah.