27 November 2007.. Isnin..

Tirai pengembaraan sudah ingin dilabuhkan.

Masa yang ada sebelum berlepas pulang diisi sebaik mungkin. Kami dibawa melawat sekitar bandar Hong Kong. Benarlah, begitu padat sekali bangunan yang dibina. Bukan sekadar di atas tanah rata, malah sehingga ke atas bukit bangunan pencakar langit turut tersergam.


Hong Kong Waterfront.. Avenue of Stars..

Avenue of Stars menjadi lokasi penggambaran terakhir. Avenue of Stars, mendengarkan namanya sudah cukup untuk kita bayangkan bagaimana rupanya. Laluan persiaran yang panjang terletak di tepi laut. Lebih tepat lagi, di atas laut. Hotel Avenue of Stars juga dibina di atas laut, seolah-olah rumah pulau Apek (Aspalela) versi mewah. Cukup mewah. Avenue of Stars ini dibina bagi mengabadikan segala-gala tentang artis-artis Hong Kong. Galeri khas Jackie Chan turut dibuka. Seperti biasa, tapak tangan para artis menemani di sepanjang laluan. Tidak ketinggalan replika artis, replika suasana penggambaran serta pelbagai lagi.

AVenue of Stars : Ketibaan Star Cruises..

Akhirnya, tepat jam 12.45 tengahari Cathay Pacific berlepas menuju ke Malaysia tanah airku. Alhamdulillah, selamat kembali ke tanah tumpah darah pada jam 4.30 petang.

Hong Kong.. Semoga bertemu lagi..

Berakhir sudah suatu catatan perjalanan yang cukup menyeronokkan. Memberi seribu satu pengalaman baru selari dengan ilmu yang didambakan. Untuk dikenang sebagai memori sepanjang zaman.

Alhamdulillah.. Selamat kembali ke Malaysia..

Dengan rasminya, dengan lafaz Alhamdulillah, tirai “1st Academic Mission to Hong Kong-Beijing, China.. Towards Creating Globalized Pharmacist.. 21-27 November 2007..” dilabuhkan..

Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program ini terutamanya Dr Zulkifli Jusoh selaku pensyarah pegiring, Society of Pharmacy Students (SOPHYS), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, juga kepada penaja-penaja utama, Agilent Technologies (Malaysia) dan Fischer Scientific. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Ziarah Sutera Holdings Sdn. Bhd., pihak-pihak yang terlibat di Kedutaan Malaysia di Beijing, Perusahaan Sains-Teknologi Farmaseutikal Bao Shu Tang, Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Kedoktoran Tradisional China, Farmasi Tong Ren Tang, Pusat Mutiara Air Tawar, Pusat Jed & Kristal, Pusat Pembuatan Teh (Dr Tea) dan Kedai Batu Permata Olimpik. Tidak lupa juga kepada pihak Huafu International Hotel, Days Inn, Newton Palace Hotel, Xinjiang Muslim Restaurant serta Shadowman Restaurant. Tidak ketinggalan, Cathay Pacific dan Dragon Air. Terima kasih atas segalanya.


Kenangan terindah yang tercipta pastinya akan terlakar di ingatan buat selamanya.