sahabatku..
terasa bagai baru semalam kita bersua
di kala akhlakmu masih rapi terjaga
masih lembut dalam berbicara
seluruh auratmu masih terpelihara
masih menundukkan pandangan mata

lalu kita berjalan seiringan
menempuh badai persada kehidupan
walau ribut walau taufan
kita masih mara ke hadapan
mengembara mencari keredhaan Tuhan

namun sahabatku..
tanpa kusedari dirimu sedikit terleka
sedikit tercicir dari landasan kehidupan
mungkinkah diriku yang alpa
kadangkala membiarkan dirimu sendirian
maafkanlah aku wahai teman
ampunkanlah aku wahai Tuhan

kini..
kulihat dirimu sudah berteman
persahabatan kita mulai renggang
kuteruskan berdoa dan berikhtiar
semoga Allah meredhai persahabatan kalian
walau kelihatan sedikit menyimpang
semoga segaris cahaya akan terlakar

perhiasan iman telah kau tanggalkan
perhiasan dunia kini kau sarungkan
itu tabarruj namanya wahai teman
apa gunanya sejuk di dunia, andai di akhirat kepanasan


wahai teman..
hanya doa tulus kudus kutadahkan
moga dirimu dipayungi naungan iman
berubahlah selagi mempunyai harapan
tinggalkan segalanya sebagai kenangan

sesungguhnya..
tiada insan baik tidak mempunyai kisah silam
tiada insan jahat tidak mempunyai masa depan
tinggalkan segala kabus yang kelam
marilah seiringan memburu Syurga idaman


p/s:
Kutujukan khas buat teman-teman..
Jangan ke kiri atau ke kanan..
Bersamalah kita mara ke hadapan..
Teruslah berada di atas landasan iman..
Juga buat diriku yang sering ditimpa ujian..
Kadangkala buntu mencari arah tujuan..
Moga sentiasa ditetapkan iman..
Akhlak Rasulullah jadikan ikutan..
Al-Quran dan Sunnah dijadikan pedoman..