14 Ramadhan 1430H.. Bersamaan 4 September 2009..


MALAM PULA BERTAMU..

Allahuakbar! Allahuakbar!

Azan sayup-sayup kedengaran, menandakan masuknya waktu Maghrib bagi kawasan Puncak Alam. Tatkala 14 Ramadhan 1430H melabuhkan tirai, acara tradisi berbuka puasa secara berjemaah bersama sahabat-sahabat dilaksanakan di A2307, Kolej Angsana. Rezeki daripada Allah dikongsi bersama ‘Atikah, Rosnani, Syaheeda & Akma. Saat-saat manis sebegini sudah pasti akan dirindui suatu ketika nanti. Kenangan terindah dikala teman-teman sentiasa disisi dalam mengharungi pengembaraan menuju Ilahi.

Allahuakbar!! Allahuakbar!!

Laungan azan Isyak kedengaran dari ‘Masjid Angsana’. Tanpa berlengah, saya, ‘Atikah dan Syaheeda bergegas mengorak langkah. Kami bersama sahabat-sahabat lain menapak langkah demi langkah melintasi tiga blok asrama, mendekati lokasi azan dilaungkan. Semoga ibadat kami diterima, diberkati dan diredhai Allah, InsyaAllah.

Setibanya di ‘Masjid Angsana’, separuh bahagian berkarpet sudah dipenuhi jemaah. Saya dan ‘Atikah menggunakan strategi biasa, sekadar ‘bertenggek’ di hujung saf barang seminit dua. Sedang saf dirapatkan sejurus sebelum Imam mengangkat takbir, kami akan sama-sama berusaha menyelitkan diri di celah-celah keramaian. Alhamdulillah, buat kesekian kalinya kami berjaya mendapatkan tempat di saf pertama (Dengan izinNya). Terima kasih Ya Allah kerana sudi mendengar permintaan kami. Segala puji bagiMu Ya Allah.


BULAN SUDAH PUN MENGAMBANG..

Seusai solat Tarawih, kami berjalan seiringan ke kolej. Sedang rancak bersembang.. Subhanallah! Maha Suci Allah. Indah sekali bulan mengambang di balik awan. Antara jaga dan lena, sudah genap dua minggu Ramadhan dilalui. Tanpa disedari jua, semakin bertambahlah usia kita, semakin meningkatlah umur kita.

Namun, sedarkah kita.. Semakin lama hidup di dunia, semakin berkurangan sisa umur yang masih berbaki. Sebagai contoh, andaikan umur yang tertulis untuk kita hanyalah lima dekad. Jika sekarang kita sudah berada di dunia selama dua dekad, ini bermakna hanya tiga dekad lagi yang sempat kita lalui. Itu pun kalau tiga dekad masih berbaki, kalau hanya tiga purnama lagi? Atau hanya tiga hari lagi? Atau tiga jam lagi? Atau mungkin sahaja tiga minit dari sekarang..

Sudah bersediakah kita dengan segala bekalan yang bakal dibawa bersama?
Sudah cukupkah segala amal ibadat yang kita laksanakan?
Sudah melimpah ruah kah sedekah yang kita laburkan sebagai saham akhirat?

Sesungguhnya, perkara yang paling paling paling hampir dengan kita adalah.. KEMATIAN..

Fikir-fikirkanlah.. Renung-renungkanlah..

~N~